Definasi Teknologi Hijau merujuk pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.
Teknologi Hijau merujuk produk, peralatan, atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria berikut: Ia meminimumkan degrasi kualiti persekitaran; ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar; ia adalah selamat untuk digunakan juga menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan; Penjimatan tenaga dan sumber asli; dan Menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.
Apakah maksud ‘teknologi hijau’? Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi Hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian, apa pun teknologi yang dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau atau digunakan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang menghasilkan pelepasan Gas Rumah Hijau yang tinggi perlu dikurangkan melalui kesedaran pada peringkat permulaannya dan selanjutnya melalui penguatkuasaan. Aplikasi Teknologi Hijau juga adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita perolehi sekarang atau kualiti yang lebih baik dari sekarang.
Apakah kepentingannya? Teknologi Hijau merupakan satu teknologi yang mesra alam dan merupakan teknologi yang rendah karbon bagi mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan antara lainnya fenomena perubahan cuaca dunia. Di antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai pada masa kini ialah cuaca yang melampau seperti keadaan cuaca panas yang sering kita hadapi sekarang. Selain itu, kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan, kenaikan paras dan suhu air laut, kepupusan spesis flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam masyarakat dunia pada masa kini.
Proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha dapat dilakukan untuk melambatkan proses ini. Oleh yang demikian, aplikasi Teknologi Hijau merupakan salah satu langkah yang diambil bagi melambatkan proses perubahan cuaca dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian dan pilihan yang kita buat sebagai contohnya penggunaan kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan sebagainya.
Sehubungan itu, aplikasi teknologi dan amalan hijau seperti penggunaan alat-alat elektrik cekap tenaga, penggunaan kenderaan awam atau bahan api alternatif, penjimatan penggunaan air merupakan antara perkara-perkara yang boleh dipertimbangkan dalam melaksanakan aktiviti harian kita. Walaupun amalan-amalan hijau bukan merupakan satu kebiasaan pada sebahagian daripada kita pada masa kini, kita perlu mengubah minda kita bagi memastikan kita masih akan dapat menikmati kehidupan yang kita nikmati pada hari ini dalam jangka masa panjang. Kita juga harus sedar bahawa pilihan-pilihan yang dibuat oleh kita pada hari ini akan menentukan masa depan yang akan dilalui oleh anak-anak kita di masa akan datang. Olehitu marilah kita semua agar mula mendekati amalan-amalan hijau yang kecil seperti mengitar semula sampah, menggunakan peralatan cekap tenaga, mengamalkan penjimatan tenaga dan air dan sebagainya.
lama tak singgah sini.. tak tahu apa projek sekarang bro?? rakan2 lain semua sudah kurang..
huhuhu… pekabarrr? projek biasa2 jer.. tapi super bz…yer la rakan2 lain pun super bz tu mencari rezeki… semoga di murahkan rezeki insya Allah…
Memang digalakkan menerapkan teknologi hijau tetapi perlu ingat kosnya bukan murah.