Alam sekitar terdiri daripada semua elemen kehidupan samada yang bernyawa atau pun tidak serta interaksi di antara kedua-duanya. Ini bermaksudbahawa sekiranya satu bahagian daripadanya diganggu maka yang lain akanturut terasa akibatnya sama ada secara langsung atau tidak. Sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Tuhan menjaga bumi ini, kita perlu mengurus alam sekitar dengan sebaiknya seiring dengan pembangunan negara dalam memastikan kesejahteraan serta keharmonian alam sekitar tidak terganggu.
Adakah kita sewenang-wenangnya mengharapkan kerajaan atau orang lain menjaga kebersihan persekitaran kita? Adakah kita mengamalkan amalan hijau untuk mengelakkan pembaziran sumber tenaga? Usia muda atau tua bukanlah menjadi ukuran untuk menjaga alam sekitar. Bumi ini satu-satunya tempat yang sesuai untuk kita tinggal dan miliki bersama. Kita menghirup udara yang sama dan berkongsi menggunakan sumber-sumber yang ada untuk satu kehidupan yang harmoni dan sejahtera. Tentunya, apa sahaja yang menjadi milik kita, akan kita pertahankan dan lindungi dari segala bentuk kemusnahan.

Walau bagaimanapun, kesedaran sahaja tidak mencukupi tanpa pengetahuan, kefahaman, perubahan sikap dan penyertaan fizikal. Maka kita dan anak-anak kita sebagai bakal pemimpin di masa hadapan, perlu melengkapkan diri dengan
pengetahuan mengenai alam sekitar seterusnya mengaplikasi nilai-nilai murni alam sekitar dalam urusan kehidupan harian. Insya-Allah, berkat keikhlasan kita bersama bertanggungjawab terhadap alam sekitar dengan membudayaka hidup mesra alam, anugerah Tuhan ini akan sentiasa dilindungi untuk dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.
Secara amnya, falsafah pendidikan alam sekitar melibatkan tiga komponen yang relevan sebagai panduan.
- Akur kepada kewujudan alam sekitar itu yang menjadi sebahagian daripada unsur penting alam, di mana seluruh isi alam ini adalah tertakluk kepada kehendak Tuhan. Manusia memerlukan air untuk diminum dan menjalankan urusan seharian. Udara perlu untuk pernafasan dan yang secara langsungnya juga menjadi asas kepada pembentukan haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang menjadi makanan kita. Dengan berfikir secara reflektif, manusia akan sedar yang kesemua hidupan di dunia ini bergantung penuh kepada alam sekitar ciptaan Tuhan. Ini akan menimbulkan kesedaran kepada manusia tentang pemuliharaan
alam sekitar. - Ilmu yang berkaitan dengan alam sekitar perlu diperdalami dan diperhalusi agar kita dapat memeliharanya secara bersama. Ilmu alam sekitar seperti bagaimana untuk memelihara dan memulihara alam sekitar dan langkah-langkah pencegahan mestilah datang dari sumber yang tepat dan sahih. Selain daripada menerima ilmu kepenggunaan dan pencemaran alam sekitar ini seseorang itu juga harus memuhasabah diri sendiri tentang apakah, bagaimanakah, dan sejauh manakah yang kita tahu tentang isu alam sekitar ini bersesuaian dengan diri masing-masing. Adakah golongan remaja yang prihatin tentang isu alam sekitar dapat mendekati orang ramai, umpamanya turut memiliki ilmu yang seharusnya mereka miliki untuk sama-sama berperanan dalam kapasiti mereka. Dengan ini mereka dapat mengatur strategi untuk memikirkan cara yang sesuai untuk mereka bertindak.
- Memupuk semangat kecintaan kepada alam sekitar dengan membicarakan nilai-nilai etika, moral dan estetika (keindahan). Umpamanya, para pengusaha industri harus mematuhi etika perniagaan yang berkaitan alam sekitar dan memikirkan nilai-nilai moral yang signifikan dalam hubungannya dengan masyarakat yang terpalit dengan urusan aktiviti mereka. Nilai estetika pula dikaitkan dengan keindahan dan kecantikan. Sungai-sungai, lautan dan tasik perlu kekal indah dan bersih, dan alam sekeliling yang menjadi tumpuan ramai perlu dipastikan jauh dari tercemar dan disebaliknya dihiasi dengan kehijauan agar udara dan suasana alam sekitar yang kita nikmati segar, nyaman dan menyihatkan.
Confucius
“Bilamana kamu mengetahui sesuatu, lantas berpeganglah kepada apa yang kamu tahu itu, dan bilamana kamu tidak mengetahui sesuatu, lantas mengakui yang kamu tidak mengetahuinya, itulah yang dikatakan ilmu pengetahuan’’